Kereta Sosilawati dilihat di tempat letak kereta

Mahkamah Tinggi di Shah Alam hari ini diberitahu bahawa seorang penduduk flat di Subang Jaya melihat kereta BMW X5 berwarna hitam yang digunakan oleh Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain…

Mahkamah Tinggi di Shah Alam hari ini diberitahu bahawa seorang penduduk flat di Subang Jaya melihat kereta BMW X5 berwarna hitam yang digunakan oleh Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain pada hari mereka dilaporkan hilang dipercayai dibunuh.

Sarjan Jaswant Singh, 52, berkata beliau menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki bernama ”Awang” antara 8.45 dan 8.50 malam, semasa beliau bertugas sebagai penyelia di bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, 6 September 2010.

“Saya terima maklumat daripada Encik Awang bahawa dia telah nampak kenderaan jenis BMW no pendaftaran WTL 11 yang diletakkan di tempat letak kereta flat Angsana, Pangsapuri USJ, Subang Jaya.

“Saya seterusnya mengarahkan anggota dari unit MPV (kereta peronda polis) untuk ke tempat itu bagi memastikan kenderaan itu memang berada di lokasi yang dimaklumkan,” katanya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainuddin.

Saksi ke-18 pendakwaan itu memberi keterangan pada perbicaraan kes bekas peguam, N Pathmanabhan dan tiga pekerja ladang, T Thilaiyagan, R Matan dan R Khatavarayan yang didakwa membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati Kamaruddin Shamsuddin, 44, di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting, antara 8.30 malam dan 9.40 malam pada 30 Ogos 2010.

Pathmanabhan, 42, Thilaiyagan, 20, Matan, 21, dan Khatavarayan, 31, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Jaswant berkata beliau memaklumkan kepada Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, semua ketua bahagian dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor mengenai penemuan kereta itu dan menunggu arahan selanjutnya sehingga pasukan forensik dan unit-unit lain tiba.

Ketika disoal balas peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili tertuduh ketiga, Matan, saksi itu berkata beliau tidak mencatitkan nama penuh, nombor kad pengenalan dan alamat pemanggil itu.

“Ada tidak Awang beritahu berapa lama kereta itu berada di sana?” soal Amer Hamzah.

“Awang kata kereta tersebut sudah lama berada di situ, tetapi dia baru perasan (kereta milik Sosilawati) selepas menonton berita di televisyen,” kata Jaswant.

Sementara itu, saksi pendakwaan ke-19, Lans Koperal Roslee Sharon, 30, berkata pada 6 Sept 2010, beliau menerima arahan dari Bilik Gerakan Subang Jaya untuk mengesan sebuah kereta BMW hitam bernombor pendaftaran AAJ 5 milik Ahmad Kamil yang ditinggalkan terbiar di sebuah lokasi berhampiran Hotel Grand Dorsett, Subang Jaya.

Roslee yang ketika itu bertugas sebagai anggota unit kereta peronda polis (MPV) berkata pada mulanya kereta itu tidak dijumpai di lokasi tersebut sehinggalah mereka menemuinya di tempat letak kereta Lot 125, Jalan SS15/1B, Subang Jaya.

“Saya dan pemandu MPV Lans Koperal Faizal Ismail lihat kereta itu parking tidak berapa cantik dan bumper sudah melebihi kaki lima, terlebih ke depan.

“Kami kemudian maklumkan kepada bilik gerakan, ketua balai serta diarahkan untuk tunggu sehingga unit Forensik sampai dan tidak dibenarkan menyentuh kereta itu. Kami juga buat halangan guna garisan polis,” katanya.

Saksi itu berkata mereka beredar dari tempat itu kira-kira 2.30 pagi selepas pasukan forensik selesai melakukan siasatan.

Saksi kelima pendakwaan yang dipanggil semula, Lans Koperal Kasmir Luntuk, 25, dalam keterangannya berkata beliau telah diarahkan oleh Dr Nurliza Abdullah untuk mengambil sebanyak 145 keping gambar cebisan tulang di bilik bedah siasat Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 17 September 2010.

Kasmir yang bertugas sebagai jurugambar di IPD Dang Wangi berkata beliau mengambil masa seharian untuk mengambil gambar iaitu dari 8.30 pagi sehingga 8 malam dan mencetak kesemua gambar tersebut keesokan harinya (18 Sept 2010) di unit foto IPK Kuala Lumpur sebelum menyerahkannya kepada pegawai penyiasat Asisten Superintendan (ASP) Ishak Yaacob seminggu selepas itu.

Saksi ke-17 pendakwaan, Koperal K.Manikam, 53, dalam keterangannya pula berkata beliau telah diarahkan oleh Ishak untuk mengambil sebanyak empat keping gambar sebuah telefon bimbit pada 14 September 2010.

Manikam yang bertugas sebagai jurugambar di IPD Dang Wangi juga memberitahu bahawa beliau telah diarahkan untuk mengambil sebanyak 165 keping gambar cebisan tulang di bilik bedah siasat HKL pada 18 September 2010.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir bersambung Isnin ini (11 Julai 2011).

– Bernama



Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s