Amaran IGP: Henti hasutan SMS, twitter, facebook

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar mengingatkan pihak tertentu agar menghentikan perbuatan menghasut rakyat melalui khidmat pesanan ringkas (SMS), twitter dan facebook untuk membalas dendam…Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar mengingatkan pihak tertentu agar menghentikan perbuatan menghasut rakyat melalui khidmat pesanan ringkas (SMS), twitter dan facebook untuk membalas dendam selepas kegagalan perhimpunan BERSIH 2.0 di Kuala Lumpur semalam, lapor Bernama.
    
Beliau dilaporkan berkata perbuatan itu amat berbahaya sekaligus boleh menimbulkan kekacauan dan harus dihentikan segera.
    
“Kita minta rakyat supaya fikir dengan baik dan bersama-sama memelihara keamanan negara. Tugas dan tanggungjawab itu bukan di bahu pihak polis sahaja,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pentauliahan Sijil Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (Suksis) ke-7 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Johor Bahru hari ini.

Seramai 1,024 pelatih menerima pentauliah tersebut yang melibatkan 19 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dari seluruh negara.
    
Selepas perhimpunan itu katanya, terdapat pihak menyebarkan hasutan dan provokasi melalui tiga medium tersebut termasuk kenyataan berunsur perkauman dan menanam kebencian terhadap kerajaan.

Beliau berkata polis telah membebaskan dengan jaminan polis 1,667 orang yang ditahan kerana terlibat dalam perhimpunan BERSIH 2.0 di Kuala Lumpur semalam.

Katanya kertas siasatan akan dibuka terhadap mereka dan tindakan susulan akan diambil.
    
Mereka yang ditahan dalam perhimpunan tersebut katanya terdiri daripada 1,000 orang awam, pemimpin pembangkang dan 91 individu yang dilarang memasuki ibu kota tersebut, kata Ismail.

Antara yang ditahan ialah penganjur Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) Datuk S. Ambiga, pengerusi Pemuda BN Khairy Jamaluddin, ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang serta timbalannya Mohamad Sabu.
    
Mengenai dakwaan polis menggunakan kekerasan ketika menangani perhimpunan itu Ismail berkata, pihaknya bertindak mengikut situasi dan gas pemedih mata dilepaskan polis selepas penyokong BERSIH cuba merempuh sekatan.

Sementara itu, Komandan Pusat Latihan Polis (Pulapol) Zulkifli Mohamed berkata, adalah menjadi amalan polis untuk menjaga kebajikan tahanan dengan layanan yang profesional sehingga mereka dibebaskan.
    
“Kami tidak mahu negara lain memandang rendah terhadap Malaysia, malah ini sudah mejadi adat kita untuk menjaga kebajikan tahanan sehingga mereka dibebaskan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
    
Zulkifli berkata pihak polis juga tidak ingin memberi ruang kepada pihak-pihak tertentu untuk memanipulasikan keadaan dengan mendakwa polis tidak menjaga kebajikan tahanan dan sebagainya.
    
“Kita juga mendapat maklum balas positif daripada tahanan tersebut…semuanya berterima kasih kerana dijaga rapi dan layanan baik yang diberikan.

“Mereka seronok…malah nampak macam kenduri kahwin di Pulapol semalam,” katanya.
    
Beliau menjelaskan bahawa kanak-kanak yang mengikut ibu bapa mereka juga turut diberi perhatian yang serius dan diberi ruang yang selesa untuk mereka bergerak.
    
“Kesian mereka ikut ibu bapa dan kena tahan…tak kan kita nak tinggalkan mereka bersendirian dan tahan ibu bapa sahaja,” katanya.
    
Tambahnya kemudahan untuk bersolat, rawatan dan makanan kepada tahanan disediakan oleh pihak Pulapol sendiri.
    
Antara makanan yang disediakan oleh Pulapol adalah nasi minyak, nasi briyani, bihun, mee goreng dan minuman.
    
Daripada 1,697 orang terdiri daripada 1,527 lelaki, 154 wanita dan 16 kanak-kanak yang ditahan, sebahagian besar dibawa ke Pulapol, manakala bakinya dibawa ke Balai Polis Jinjang dan juga Maktab Polis Cheras untuk diambil keterangan sebelum dibebaskan malam tadi.
    
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh dalam sidang media hari ini berkata kos makanan secara ‘buffet’ yang disediakan adalah kira-kira RM25 seorang di mana mereka boleh mengambil seberapa banyak yang diperlukan.
    
“Mereka diberi layanan lebih baik daripada layanan kepada anggota dan pegawai polis yang bertugas (pada perhimpunan haram}, katanya.
    
– Bernama



Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s