Kajian: Golongan muda Islam keliru

Golongan muda Islam Malaysia secara umumnya keliru dan mendukung pandangan yang saling berkontradiksi. Mereka antaranya didapati tidak minat politik namun mempunyai harapan tinggi terhadap demokrasi…

Golongan muda Islam Malaysia secara umumnya keliru dan mendukung pandangan yang saling berkontradiksi.

Mereka antaranya didapati tidak minat politik namun mempunyai harapan tinggi terhadap demokrasi, demikian dirumuskan dalam pembentangan kajian terhadap harapan golongan tersebut.

Golongan ini juga lebih suka sekiranya undang-undang hudud digunakan bagi menggantikan perlembagaan – antara hasil kajian oleh Merdeka Centre yang dibincangkan di Universiti Kebangsaan Malaysia hari ini.

Lebih 71 peratus daripada warga muda ini setuju sekiranya pencuri dikenakan hukuman potong tangan manakala lebih 92 peratus setuju  hukuman sebat dikenakan ke atas peminum alkohol.

Kajian bersama Merdeka Centre dengan sokongan Goethe Institut itu dijalankan ke atas lebih 1,000 orang warga Malaysia berusia antara 15 hingga 25 tahun.

Mengulas rumusan berkenaan, pengarah program Merdeka Centre Ibrahim Suffian berkata, pandangan itu mungkin timbul memandangkan bukan kesemua responden berkenaan menerima didikan agama formal hingga ke peringkat tinggi.

“Ianya cuma apa yang mereka fikir sebagai benar,” katanya lagi yang turut menjelaskan bahawa nilai-nilai agama juga mempengaruhi pandangan golongan berkenaan ke atas prinsip demokrasi.

Turut menarik perhatian, hampir 70 peratus berpendapat pemakaian tudung di kalangan wanita Islam adalah wajib dan hampir 73 peratus tidak bersetuju dengan amalan poligami.

Seramai lebih 62 peratus juga menganggap Osama bin Laden sebagai pejuang kebebasan, namun mereka menolak keganasan.

Ibrahim yang membentangkan hasil kajian itu berkata, seks sebelum kahwin, pornografi dan homoseksualiti juga ditolak hampir seratus peratus.

Walau mengambil pandangan konservatif dalam isu agama dan moral, golongan muda Islam Malaysia tidak cermat dalam memenuhi keperluan agama seperti solat lima waktu, membaca al-Quran dan puasa di bulan Ramadan, menurut laporan tersebut.

Ibrahim menambah, responden juga mungkin memberi jawapan yang “betul” kerana ditemubual oleh penemuramah beragama Islam secara individu, katanya lagi ketika ditanya dalam sesi soal jawab.

Golongan muda ini turut mendukung pandangan yang berkontradiksi dalam soal politik – lebih 66 peratus daripada responden berpendapat, kegiatan dalam politik merupakan aktiviti tidak popular.

Jumlah yang sama juga belum mendaftar sebagai pengundi, manakala lebih 50 peratus mengaku bosan dengan politik.

Tindakan yang lebih popular ialah berkahwin (lebih 68 peratus) dan mendapatkan pendidikan tinggi (lebih 78 peratus).

Seramai lebih 44 peratus berpendapat, hanya golongan berwang yang akan berjaya dalam politik, namun seramai hampir 74 peratus setuju bahawa rakyat berkuasa untuk mengubah kerajaan yang tidak disukai.

Hampir 87 peratus juga percaya, negara perlu dipimpin oleh seorang tokoh yang kuat dan lebih 71 peratus percaya demokrasi yang kuat memerlukan parti pembangkang.

Seramai lebih 85 peratus daripada golongan ini tidak aktif dalam parti politik, tetapi lebih 55 peratus lagi aktif dalam NGO, kelab dan persatuan. Lebih 70 peratus juga aktif dalam kegiatan di sekolah dan kolej.

Turut membincangkan kajian berkenaan ialah pengarah Institut Kajian Etnik, Prof Shamsul Amri Baharudin, pengkaji politik Universiti Monash, Dr Wong Chin Huat dan juga pengarah kajian Merdeka Center, Tan Seng Keat.



Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s